Thursday, March 11, 2010

Perbezaan Mutiara Kultur Dan Mutiara Semulajadi

Banyak spekulasi yang timbul berkenaan keaslian mutiara yang dikultur pada awal tahun 1900an. Mutiara yang dikultur sesungguhnya adalah tulin sepertimana mutiara semulajadi. Perbezaan yang mungkin dapat dilihat pada mutiara semulajadi ialah rupa bentuk nukleus mutiara yang wujud. Pada mutiara semulajadi, praktikel pasir, telur parasit dan bahan-bahan lain akan membentuk neukleus di tengah-tengah. Sementara itu, pada mutiara yang dikultur, nukleus tiruan yang terdiri daripada kulit asal (bivalve) dimasukkan untuk menjadikan mutiara. Amnya, kedua-dua proses pembentukan mutiara ini adalah serupa. Dengan kata lain, nukleus perlu untuk mendapatkan mutiara samada dilakukan oleh manusia ataupun secara semulajadi untuk membentuk lapisan “nacre” yang seterusnya akan membentuk mutiara yang amat bernilai.

Cara Mengenal Mutiara Yang Baik
Kriteria yang penting dalam menilai mutiara ialah kehalusan pada permukaannya. Kecacatan mutiara sukar ditentukan, tetapi ianya boleh ditentukan melalui tanda/ bintik ataupun lekuk yang kelihatan. Untuk mengenal kecacatan mutiara, permukaannya bolehlah diusap dengan hujung jari. Sekiranya terdapat dua atau lebih bintik, mutiara tersebut adalah tidak berkilau, menarik dan di tambah dengan kilauan adalah baik untuk dibuat cincin.
Mutiara yang berat sudah tentu mempunyai lapisan “nacre dan dapat bertahan lama, manakala lapisan yang nipis/ halus hendaklah dielakkan. Mutiara yang mempunyai kecacatan yang sedikit boleh digunakan untuk kalung (rantai leher) tetapi ianya tidak sesuai untuk cincin. Harga mutiara adalah ditentukan oleh saiz- berbanding dengan kualiti. Contohnya harga “loose pearls’ bertambah bagi setiap milimeter garispusat. Dengan lain perkataan, harga mutiara bersaiz 7mm amat berbeza dengan 8mm.

Warna Mutiara
Warna mutiara yang biasa terdapat dipasaran ialah merah jambu, merah jambu susu, putih kuning, keperakan, keemasan hijau, hitam, biru dan coklat. Pakar-pakar mutiara amnya menasihatkan agar pemilihan warna ini disesuaikan / padankan dengan warna kulit si pemakai.

Penjagaan Mutiara
Tanda-tanda yang kecil yang mencacatkan mutiara boleh dihilangkan dengan minyak zaitun. Perhatian!! elakkan dari memakai mutiara anda semasa mandi, di dapur atau mencuci. Warna mutiara boleh berubah kerana mutiara terbentuk daripada kalsium karbonat.
Dipetik daripada Mutiara Kultur – Khazanah Berharga Dari Perairan Malaysia, Bahagian Pengembangan & Latihan, Jabatan Perikanan Sabah, Julai 1992

Tentang Mutiara Sabah

Pada zaman dahulu sebelum manusia menerokai alam semulajadi, laut dipenuhi dengan pelbagai hidupan dan permata yang amat bernilai iaitu mutiara. Mutiara telah mula digunakan sebagai barang perhiasan dan juga dalam ilmu perubatan pada awal zaman Greek, Asia dan Kepulauan Pasifik. Selama kira-kira 5,000 tahun kita telah menikmati kemewahan daripada permata ini tetapi sejak satu abad yang lampau, mutiara telah dihasilkan melalui cara ternakan. Walaupun beberapa buah negara telah dikenali sebagai salah sebuah negara yang pakar dalam bidang ini.
Di Malaysia, sebuah syarikat secara usahasama dengan Pelabur Jepun yang dinamakan Syarikat Kaya Pearls Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada tahun 1963 untuk tujuan pemeliharaan permata ini di Pulau Bohey Dulang kira-kira 18km dari Pekan Semporna, Sabah. Projek tersebut mempunyai keluasan kira-kira 11.5 hektar.Spesis Tiram Yang DiternakPada masa ini, syarikat Kaya Pearls Sdn. Bhd. sedang menternak tiram dari jenis “Silver lip” (Pinctada_maxima) untuk pengkulturan mutiara. Adalah didapati spesis ini boleh mengeluarkan mutiara yang berkualiti baik.Proses Memasukkan NukleusSebelum nukleus boleh dimasukkan, induk tiram terlebih dahulu disuntik bagi menggalakkan pengeluaran telur. Kemudian bahagian lapisan “mantle lobe” (dikenali juga sebagai “piece” daripda moluska lain dipotong dan disediakan untuk dilekatkan pada lapisan kulit. Satu belahan perlu dibuat pada bahagian tisu lembut tiram menggunakan alat yang tajam (Contoh: Pisau pembedahan – “scalpel”). Kemudian “piece” tadi akan dimasukkan kedalam belahan ini bersama-sama nukleus.”Peice” akan membesar menjadi “pearl-sac” mengelilingi nukleus, membentuk satu lapisan nipis “nacreous”. Daripada permukaan “Pearl-Sac” bahan “nacreous” akan keluar dan seterusnya membentuk tiga hingga empat lapisan sehari dan proses ini akan menjadi lengkap dalam masa satu hingga dua tahun.Kaedah Ternakan
Syarikat Kaya Pearls Sdn. Bhd. di Semporna, Sabah menggunakan kaedah rakit-rakit terapung dan sangkar untuk pengkulturan tiram mutiara di laut berdekatan dengan Pulau Bohey Dulang, Semporna.
Jenis Mutiara Yang Dikultur
Terdapat dua jenis mutiara yang sedang dikultur oleh Syarikat Kaya Pearls Sdn. Bhd. iaitu mutiara berbentuk bulat dan mutiara berbentuk separuh bulat. Pemeliharaan mutiara berbentuk bulat memerlukan masa kira-kira dua tahun manakala mutiara berbentuk separuh bulat memerlukan masa sepuluh hingga dua belas bulan. Dalam jangkamasa tersebut, mutiara berbentuk separuh bulat boleh mencapai garispusat 15-20mm.